Menerusi satu posting di laman Facebook, Natipah bercerita bagaimana anak perempuan wanita tersebut menjadi mangsa pemuas nafsu si bapa yang disifatkan seperti sejarah hitam dalam rumah tangganya.
Aktivis masyarakat, Natipah Abu berkongsi sebuah kisah realiti yang sangat perit untuk ditanggung seorang wanita bernama Eida akibat sikap durjana suami sehingga tergamak ‘merosakkan’ anak sendiri.
Menurut Eida, perbuatan sepak terajang ibarat ‘makanan’ dalam kehidupan walaupun usia perkahwinan mereka masih muda. Namun, dia tetap ‘menelan’ segala keperitan atas dasar taat kepada suami.
Pada satu hari, Eida berkata anak perempuannya berusia dua tahun itu menangis selepas pulang dari rumah nenek (ibu bapa suami) yang dibawa oleh lelaki tersebut ke sana.
Apabila ditanya, kanak-kanak berkenaan mengaku bapanya telah melakukan ‘sesuatu’ pada mulut dan kemaluannya sekali gus menyebabkan dunia Eida gelap seketika.
“Abah boh (masuk) ‘ubat’… sakit…”
Ternyata, anaknya telah menjadi mangsa cabul si suami sehingga mangsa seolah-olah mengalami trauma kerana sering menyebut ‘abah buat’ selain kerap mengigau ketika tidur.
Tidak sanggup lagi ‘menuduk’ terhadap suami, Eida nekad membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital dan dalam proses menuntut keadilan berdasarkan undang-undang.
Difahamkan, Eida tiada duit simpanan dan mengalami masalah kewangan kerana sudah berhenti kerja selepas berkahwin. Kini, dia pulang semula ke pangkuan ibu bapa yang turut kurang kemampuan.
Bagaimanapun, dia cuba bangkit semula dengan membuat perniagaan menjual nasi lemak bagi menampung perbelanjaan ahli keluarga serta perubatan anaknya.
Posting berkenaan menerima 2,900 tanda suka dan ratusan perkongsian selain pelbagai komen netizen yang berharap Eida dapat berjuang menuntut keadilan untuk anaknya dan dipermudahkan urusan kelak.
Sumber: Facebook Natipah Abu