“Mak Awak Ada Pakai Minyak Wangi Sebelum Meninggal?”, Rahsia Mayat Berbau Harum Semua Terpegun Menyaksikannya

Mencari husnul khatimah adalah penyudah hayat yang sangat diinginkan oleh semua orang. Jika ditanya seorang demi seorang umat Islam, bagaimana pengakhiran hidup yang mereka mahu pastinya adalah ketenangan dan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Ini mengingatkan kepada satu kisah rahsia mayat berbau harum yang dikongsikan seorang anak selepas kematian ibunya.

Seumur hidup belum pernah bau harum sewangi jenazah



Individu pertama yang sedar dengan keadaan pelik pada mayat ini adalah seorang pemandu van jenazah yang bertugas untuk menguruskan proses pengkebumian seorang ibu yang berusia. Niat pada awal untuk membantu seorang gadis lingkungan pertengahan 20-an itu rupa-rupanya memberi ikhtibar kepada hidup sebagai seorang insan.

“Encik, ada kenal mana-mana pengurus jenazah perempuan? Sebab mak saya baru je meninggal” gadis itu menyoal.

“Ada. Nanti saya panggilkan Hajah Zaiton, pengurus jenazah wanita yang juga rakan saya dekat hospital ni”, terang pemandu van jenazah itu.

Maka semuanya berlaku dengan begitu cepat sehinggalah ketika pertama kali dia lalu disebelah jenazah dia terhidu sesuatu yang sangat harum. Bau yang semerbak harum tidak pernah tercium sebelum ini terus menusuk ke dalam hidung dengan tiba-tiba. Semakit kuat apabila jaraknya dengan jenazah sangat hampir.

“Wanginya. Minyak wangi apa dia pakai ni? Pemandu van jenazah itu tertanya-tanya sendiri di dalam hati. Tetapi persoalan itu hanya dibiarkan begitu sahaja.

Hampir 2 jam Hajah Zaiton menguruskan segala urusan mandi, dan mengkafankan barulah pemandu van jenazah itu dipanggil sekali lagi untuk menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

“Eh, dah mandikan pun bau wangi tadi tak hilang lagi? Ke, Hajah Zaiton ada calit minyak wangi dekat kain kapan pula?” bisik hati dia buat yang kedua kali.

Sewaktu mengangkat, dia dan anak-anak arwah tercium bau harum yang sungguh lain dari yang lain. Baunya begitu lembut dan membuatkan kita berasa segar bila menghidu. Seumur hidup belum pernah tercium bau harum seperti ini.

Dengan spontan pemandu van jenazah itu berkata, “Hajah, minyak wangi apa yang hajah letak dekat jenazah tadi? Wangi betul!” tanyanya ingin kepastian.

“Eh, saya tak letak apa-apa,” balas Hajah Zaiton.

“Tapi bau wangi tu?” dia menyoal tidak puas hati.

“Dari awal jenazah memang wangi, bukan sebab minyak atau apa-apa. Sebelum mandi dah wangi, saya sabun pun wangi tak hilang lagi. Memang dah bahagian baik arwah. Saya uruskan arwah pun mudah je.”

Jawapan Hajah Zaiton ini barulah menyedarkan dia bahawa ada sesuatu dengan arwah. Semua tertanya-tanya apa kaitan rahsia mayat berbau harum dengan amalannya di waktu hidup.



Wajah yang tenang dan bersih mengakhiri pemergian

Bukan sahaja harum, bahkan sewaktu ingin dikafankan sempat ternampak wajah arwah sungguh tenang dan bersih sekali seakan-akan sedang tidur.

Mungkin arwah sudah bersedia menghadap Allah SWT dengan keadaan yang cukup amal dan kebaikan di dunia sepanjang masih hidup dulu.

Lepas solat mesti baca Al-Quran setiap hari



Arwah ibu gadis ini hanya orang biasa. Sama seperti ibu-ibu lain di luar sana yang mengalas tugas melahirkan, membesarkan, mendidik, dan mengurus keperluan anak-anak serta rumah tangga.

Kerana terus ditanya, lalu gadis tersebut pun berkongsi apa amalan yang dilakukan oleh arwah ibunya ini.

Katanya, “Lepas sembahyang, ibu akan baca Al-Quran. Paling kurang pun satu atau dua muka surat setiap hari. Ibu tak pernah tinggal solat lima waktu dan membaca Al-Quran sepanjang hidupnya.”

Nampak amalan ini biasa sahaja namun Allah SWT memuliakan arwah dengan kebaikan yang cukup besar. Dari seorang ibu diangkat menjadi hamba yang sangat dicintai oleh Nya. Rahsia di antara rahsia itu adalah dengan sifat istiqamah melakukan kebaikan walaupun sekecil kuman.

Daripada Aisyah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” – (Hadis Riwayat Bukhari)

Sumber: Utusan TV
LihatTutupKomentar