Warga Emas Cedera Parah, Dipercayai Disondol Babi Hutan Ketika Mengutip Buah Durian

Seorang warga emas mengalami kecederaan parah selepas dipercayai disondol seekor babi hutan ketika sedang mengutip buah durian di dusun buah-buahan berhampiran rumahnya.

Memetik laporan Kosmo, kejadian tersebut berlaku di Taman Desa Wangi, Kampung Kubang Siput dekat Pasir Tumboh kira-kira pukul 9 pagi hari ini.

Mangsa yang berusia 78 tahun itu dipercayai cedera pada bahagian kepala, telinga dan kedua-dua belah tangannya selepas bergelut dengan haiwan tersebut selama lima minit.

Cucu mangsa, 34, yang menyedari kejadian itu berkata dia mendengar jeritan datuknya yang meminta pertolongan dari kawasan dusun yang terletak kira-kira 150 meter dari rumah.

Ketika itu, dia yang sedang membakar sate terus bergegas ke kawasan dusun sebelum mendapati mangsa berada di dalam parit sedalam 0.5 meter dengan keadaan anggota badan sudah berlumuran darah.

“Saya sempat melihat seekor babi hutan setinggi paras pinggang masih berada berhampiran datuk selepas menyondolnya.

“Haiwan itu seolah-olah mahu menerkam ke arah saya, namun saya sempat mencapai sebatang kayu untuk menghalau babi tersebut.

“Ketika kejadian, secara tiba-tiba tiga ekor lagi babi hutan kelihatan berkeliaran di dalam dusun tersebut.

“Saya menunggu beberapa minit dan kesemua babi-babi hutan itu berlalu pergi sebelum memapah datuk ke perkarangan kawasan rumah,” katanya.

Tambahnya lagi, isterinya telah menghubungi ambulans untuk membawa datuknya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Mangsa kini dikatakan berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di unit kecemasan HUSM.

Dalam pada itu, isteri mangsa, 75, berkata dia dan suaminya baru saja pulang daripada bersarapan di sebuah kedai sebelum kejadian tersebut berlaku.

“Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku kepadanya. Saya terkejut apabila melihat suami berada dalam keadaan berlumuran darah.

“Sebelum ini, memang kami tahu babi hutan sebanyak 10 hingga 15 ekor berkeliaran di sini, namun tidak pernah menyerang menusia. Ia hanya pernah merosakkan tanaman penduduk,” katanya.

PERHATIAN: Pihak Sembang Dunia tidak bertanggungjawab ke atas komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Terima Kasih

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page Sembang Dunia Ya. Terima Kasih

LihatTutupKomentar