Ulama Tertua Malaysia Meninggal Dunia
Ulama tertua, Tuan Guru Ahmad Isa Yahya meninggal dunia pada usia 106 tahun, pada kira-kira pukul 5 petang semalam di Gerik.
Perkara itu dikongsi oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria dalam Facebook beliau.
Tuan Guru yang lebih mesra disapa dengan panggilan Tok Ayah disifatkan sebagai seorang ulama’ yang sangat tawaduk dan wara’.
Waktu sihatnya, beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di Masjid Gerik. Beliau juga mengajar di Masjid berkenaan dalam pelbagai bidang ilmu khususnya usuluddin.
Allayarham menghembuskan nafas yang terakhir di kediamannya di Gerik, Perak akibat sakit tua.
Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Ahmad Isa di atas pemergian tokoh agama yang disegani ramai itu.
“Mendengar perkhabaran duka dimaklumkan Tok Ayah Haji Isa, ulama tertua berusia 106 tahun di Malaysia telah kembali ke Rahmatullah kurang lebih pukul 5 petang.
“Pak Teh (Razman) mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum. Semoga rohnya dilimpahi rahmah Allah Taala dan ditempatkan di kalangan para kekasih Allah,” katanya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gerik malam tadi.
Netizen menzahirkan rasa sedih di atas kehilangan seorang ulama yang cukup disegani itu.
Sementara itu, menurut perkongsian yang dimuat naik di Facebook, Allahyarham Ahmad Isa dilahirkan di Gerik dan banyak menabur bakti dan jasa di kawasan kelahirannya.
Allahyarham juga dikatakan antara individu terawal ke Mekah dari negara ini ketika berusia 19 tahun dan mendapat pendidikan awal di Patani, Thailand.
Semoga Allah merahmati roh Allayarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh.
Alfatihah..