Tenang hadapi banjir, pelajar tahfiz berkumpul alun zikir dalam masjid
Penduduk di Baling, Kedah menjadi perhatian ramai selepas beberapa kampung dilanda kepala air serta banjir kilat terutama di Kampung Iboi, petang semalam.
Tidak terkecuali banjir lumpur melanda di Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah yang terletak di Kampung Pisang sehingga terjejas teruk menerusi beberapa rakaman video tular di aplikasi TikTok.
Namun di sebalik situasi membimbangkan itu, tindakan pelajar tahfiz di sekolah tersebut mencuri tumpuan netizen apabila dikatakan mengalunkan zikir beramai-ramai di dalam sebuah masjid.
Video mereka dimuat naik oleh akaun TikTok @pelajar_yayasan_khairiah memaparkan sejumlah pelajar tahfiz memenuhi setiap ruang masjid dengan bertenang sambil berzikir kepada-Nya.
Malah, salah satu video memperlihatkan rakaman di luar bangunan bergema dengan suara anak-anak tahfiz dari dalam masjid yang tidak menghiraukan keadaan cemas sewaktu itu.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen meninggalkan pelbagai komen positif dengan memuji tindakan pelajar tahfiz dalam berdepan ujian serta musibah diturunkan Allah SWT.
Selain mengundang sebak, ramai juga menitipkan doa agar semua tenaga pengajar dan pelajar agar dipermudahkan segala urusan untuk melalui situasi sukar berkenaan.