Hajat Hadiahkan Ibu Al-Quran Tak Kesampaian, Dua Beradik Maut Kemalangan

HAJAT dua beradik menyerahkan senaskah al-Quran yang dibeli mereka selepas dipesan ibu tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan bas ketika ingin pulang ke rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Amirul Khusairi Amirashid, 21, menunggang motosikal Modenas Kriss 120 bersama adiknya, Nurul Atikah Amirashid, 19, meninggal dunia selepas merempuh belakang sebuah bas yang rosak di tepi jalan di Jalan Lencongan Timur dekat Amanjaya.
Akibat kejadian itu, Muhammad Amirul meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan muka, manakala adiknya, Nurul Atikah parah di kepala maut sebaik tiba di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani. 


Ibu mereka, Nariya Abdullah, 47, berkata, anaknya itu keluar dari rumah mereka jam 11 pagi untuk ke Sungai Petani bagi membeli al-Quran yang dipesannya olehnya.

“Kami sekeluarga baru keluar makan bersama malam tadi kerana arwah Nurul Atikah menerima gaji pertamanya dan saya ada meminta Amirul membeli senaskah al-Quran yang lebih besar bagi memudahkan untuk membaca.

“Adiknya kemudian berjanji mahu membelinya kerana dia tidak bekerja hari ini dan mengajak abangnya ke Sungai Petani untuk membeli al-Quran itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSAH.

Nariya berkata, bagaimanapun pada jam 2.30 petang tadi, dia terkejut apabila suami, Amirashid Ibrahim, 49, memberitahu anak mereka terbabit dalam kemalangan ketika ingin pulang ke rumah.

“Saya tidak sangka mereka keluar pagi tadi dan tidak kembali lagi dan lebih pilu apabila al-Quran yang dibeli tidak sempat diserah kepada saya.

“Biarpun sedih dengan apa yang berlaku di mana dua anak pergi serentak, namun saya dan suami reda serta bersyukur kerana mereka pergi dalam keadaan baik, Allah lebih sayangkan mereka,” katanya.
Katanya, Nurul Atiqah sedang menunggu panggilan universiti, bekerja sementara di sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang manakala arwah abangnya juga ingin menyambung pelajaran tidak lama lagi.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 
LihatTutupKomentar