Tukang cat jalan impi beli kereta mewah, dulu Hairul Azreen ditertawakan!

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah filem popular, Hairul Azreen, 33, berkongsi cerita dirinya pernah digelakkan rakan sekerja mengenai impian besar untuk memiliki kereta mewah sewaktu dia bertugas sebagai tukang cat jalan raya pada 2007 lalu.

Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris berkata, dia tidak pernah lupa pada insiden lama itu (digelak rakan sekerja) yang baginya menjadi bukti bahawa tidak salah untuk menyimpan angan-angan besar.

“Masih tak lupa masa saya kerja cat jalan 2007. Masuk kerja jam 12 tengah malam, habis kerja jam 5 pagi, sebab orang sudah siap nak pergi kerja.

“Tapi masa kerja itu, ada kereta-kereta ‘sport’ laju lalu sebelah saya, lepas itu saya apa lagi terus menjerit satu hari nanti, saya kerja rajin-rajin dan beli ‘sebiji’ (kereta).

“Selepas itu kawan yang kerja cat dengan saya cakap, ‘Kau apahal? Gila!’,” katanya.

Pelakon filem Paskal itu juga percaya kata-kata juga sebenarnya doa, selain bekerja-keras memajukan diri demi mencapai sesuatu impian dihajati.

“Kalau inginkan sesuatu atau impian kita itu digelakkan kawan, maknanya impian kita itu besar dan bagus untuk kita tuju sebab kata-kata itu doa,” katanya.

Pelakon dan usahawan terkenal, Hairul Azreen mencuri perhatian warganet apabila membawa keluarga kecilnya bercuti ke sebuah pulau peranginan menaiki sebuah helikopter.

Menerusi entri Instagram, pelakon filem popular Paskal itu berkongsi satu video yang memaparkan keluarganya sedang dalam perjalanan dari ibu kota ke sebuah pulau menaiki helikopter tersebut.

Kongsi Hairul, akhirnya dia dapat membawa isteri tercinta yang juga pelakon, Hanis Zalikha dan sepasang cahaya matanya bercuti setelah sekian lama tidak membuat aktiviti berkenaan.

“Bercuti bersama keluarga saya setelah sekian lama. Dari Kuala Lumpur ke pulau #sayatenangdilaut,” coretnya ringkas di Instagram.

Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, perkongsian tersebut menerima reaksi pantas daripada rata-rata warganet dan rakan artis sekali gus dihujani pelbagai komen.

“Another level ek, haha. Selamat bercuti abang dan keluarga,” komen pelakon Elvina Mohamad.

“Itu dia, bukan biasa-biasa. Usaha mereka dalam mencapai kehidupan yang sekarang pun bukan senang setanding dengan usaha mereka,” tulis seorang warganet.

“Wow, ini betul-betul kayangan,” komen lagi seorang warganet di ruangan komen itu.

Hairul dan Hanis diijab kabul pada 8 Jun 2015 dan dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Yusuf Iskandar, 4, dan Alisa Aisyah, 2.
LihatTutupKomentar