Habis RM 213,000 Untuk Kenduri, Pengantin ‘Minta’ Tetamu Bayar Yuran Kehadiran RM 500 Seorang

Seorang model berusia 40 tahun dari UK mendapat kritikan hebat daripada netizen berkenaan majlis perkahwinannya selepas tetamu yang hadir majlis tersebut dikehendaki membayar RM 500, lapor Wion News.

Sebelum itu, beliau dilapor telah membelanjakan sejumlah RM 213 ribu untuk majlis tersebut. Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan perkahwinannya dengan seorang lelaki berusia 52 tahun dan majlis persandingan tersebut diadakan di Cape Verde.

Menurut laporan media, kos mencecah ratusan ribu ringgit itu antaranya bagi menempah penggunaan beberapa ekor kuda putih, bayaran gaun pengantin yang mewah selain membeli sebentuk cincin yang bernilai RM 33,000.

Selain meminta semua tetamu yang hadir membayar yuran kehadiran sebanyak RM 500, mereka juga perlu membayar harga makanan yang disediakan di majlis tersebut selain perlu menanggung sendiri kos penerbangan dan penginapan di hotel berkenaan.

Ia sememangnya agak aneh apabila tetamu yang dijemput hadir untuk meraikan hari bahagianya dipaksa pula membayar caj-caj tertentu yang langsung tidak munasabah. Bagaimanapun, kisah-kisah sebegini bukanlah sesuatu yang aneh memandangkan media-media antarabangsa sebelum ini turut melaporkan kejadian yang sama pernah berlaku sebelum ini.

Antaranya kisah yang dilapor oleh India Times berkenaan perkongsian seorang pengguna Reddit. Menurut pengguna Reddit berkenaan, dirinya pernah dijemput menghadiri satu perkahwinan mewah yang tidak akan dilupakannya.

Dia berkata, pasangan pengantin berkenaan telah mengadakan majlis perkahwinan dengan kos yang sangat tinggi. Dalam kad jemputan yang diterimanya, terdapat arahan yang meminta tetamu tidak membawa apa-apa hadiah untuk dihadiahkan kepada pasangan pengantin berkenaan.

Sebaliknya, setiap tetamu diminta ‘mendermakan’ sedikit wang tunai bagi membantu menampung kos penganjuran majlis persandingan tersebut antaranya kos fotografi, dana untuk bayaran vendor dan juga tabung bulan madu.

Katanya lagi, memandangkan jemputan majlis berkenaan adalah seramai 125 orang, dia mengandaikan setiap tetamu ‘terpaksa’ mengeluarkan kira-kira USD 250 untuk ‘membantu’ meringankan beban yang perlu ditanggung pasangan berkenaan.
LihatTutupKomentar