Besut: Biarpun baru berusia lapan tahun namun siapa sangka, Ahmad Faiq Adrian Mohamad Firdaus, mampu menjana pendapatan lumayan hasil menjual anak ayam kampung putih (‘Hyline White’).
Ahmad Faiq berkata, dia bermula dengan menternak ayam sebagai hobi sebelum mengambil inisiatif menjual anak ayam melalui Facebook (FB) dan tidak menjangka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Katanya, dia mendapat dorongan dan bimbingan daripada bapa, Mohamad Firdaus Ismail, 40, dan ibu, Normah Ahmad, 36.
“Bapa membeli anak ayam daripada pembekal iaitu bapa saudara, Mustapa Omar, secara pukal sebelum saya menjualnya melalui promosi di FB.
“Paling banyak, saya pernah jual 3,200 anak ayam dalam tempoh sehari pada harga RM10 untuk empat anak ayam,” katanya.
Tambahnya, dia seronok kerana terbabit dalam perniagaan berkenaan.
“Sebahagian besar pelanggan membeli anak ayam dalam kuantiti besar untuk diternak secara komersial selain ada juga yang menternak di kawasan rumah.
“Istimewanya, anak ayam kampung putih ini cepat membesar dan boleh dijual,” katanya yang berasal dari Kampung Lak Lok Dalam, Besut.
Sementara itu, Mohamad Firdaus berkata, dia memberi dorongan kerana anaknya meminati bidang penternakan dan perniagaan.
“Sebelum ini, Ahmad Faiq gemar mengikuti bapa saudaranya menjual pelbagai jenis ayam di Pasar Tani dan ekspo pertanian.
“Saya dan isteri kemudiannya sepakat mengeluarkan modal untuk membeli anak ayam sebelum ia dijual oleh Ahmad Faiq,” katanya. Menurutnya, dia tidak menyangka jualan itu mendapat sambutan menggalakkan.