Besarkan si kembar tanpa isteri, lelaki minta ‘support’ bisnes tudung miliknya
Kisah seorang bapa tunggal, Syazwan Najmi Zulkarni yang cekal membesarkan dua cahaya mata perempuan tanpa kehadiran isteri di sisi sentiasa dikagumi orang ramai.
Meninjau di laman Instagram miliknya, bapa muda berusia 23 tahun itu sering berkongsi posting mengenai anak kembarnya iaitu Medina Safiya dan Medina Sofiya yang kini mencecah usia empat bulan.
Terbaru, lelaki berasal dan menetap di Kelantan itu memohon orang ramai memberi sokongan terhadap perniagaan butik tudung yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Setakat ini, akaun Instagram butik yang membawa jenama Medina Scarf itu telah memiliki lebih 300 pengikut dan tentu akan bertambah selepas melakukan pelbagai promosi nanti.
Sekiranya perniagaan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, sudah semestinya Syazwan akan lebih bersemangat sekali gus menjana pendapatan bagi menyara dua anaknya.
Terdahulu, arwah isterinya Siti Nur Nasuha Shafie bertarung nyawa selama dua minggu sebelum meninggal dunia selepas bersalin akibat komplikasi dalaman.